Khamis, 11 Mei 2017

6 CIRI-CIRI GURU ABAD KE 21 | 21 CENTURY TEACHER

6 Ciri-Ciri Guru Abad ke 21
Pembelajaran abad ke 21 banyak mengubah corak pengajaran dan pembelajaran kita selama ini. Perubahan positif ini adalah bagi memastikan apa yang kita lakukan adalah seiring dengan perkembangan teknologi dan kemajuan dunia zaman sekarang. Dengan kewujudan pelbagai teknologi terkini, maka sudah pasti adalah tidak relevan lagi amalan pengajaran pada abad terdahulu terus diamalkan pada masa sekarang.



Saya kongsikan beberapa ciri-ciri yang perlu ada bagi seorang guru pada abad 21. Selamat beramal!


1. Menguasai Subjek
Guru haruslah menguasai kandungan kurikulum bagi subjek yang diajar. Tentu agak canggung jadinya jika guru sendiri masih terkial-kial untuk menerangkan sesuatu kandungan dalam subjek yang diajarnya.


2. Mahir dan Berketrampilan dalam Pedagogi
Guru haruslah mahir dalam menggunakan pelbagai kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran yang betul semasa menjalankan p&p di dalam kelas. Pembelajaran yang pelbagai ini tentu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan mesra pelajar.


3.  Memahami Perkembangan dan Menyayangi Murid
Psikologi pendidikan juga menerapkan kepentingan bagi seseorang guru untuk faham akan perkembangan muridnya, serta mampu menyayangi mereka seadanya. Guru abad 21 seharusnya mampu untuk menilai perkembangan murid sesuai dengan kebolehan mereka.


4. Memahami Psikologi Pembelajaran
Guru abad 21 juga berupaya untuk memahami psikologi pembelajaran bagi para pelajarnya. Hanya dengan memahami bagaimana minat dan respon pelajar ketika belajar, maka akan membantu seseorang guru itu berfungsi dengan lebih baik sebagai seorang pendidik.


5. Kemahiran Kaunseling
Guru juga perlu mempunyai kemahiran kaunseling ketika berurusan dengan pelajar. Kemahiran untuk membantu pelajar menangani emosi, sosial dan juga pelbagai lagi perkara yang menjadi masalah kepada golongan remaja. Adalah satu kelebihan untuk guru-guru yang memiliki kemahiran kaunseling dalam menangani isu-isu yang berkaitan dalam dan luar bilik darjah.


6. Penggunaan Teknologi Terkini
Memang tidak dapat dinafikan penggunaan teknologi terkini merupakan salah satu ciri penting bagi guru abad ke 21. Selain daripada murid yang memang mahir dengan penggunaan gajet dan pelbagai alatan elektronik lain, maka guru juga perlu seiring dalam menggunakan kelebihan ini untuk menarik minat pelajar untuk belajar. Pembelajaran yang menggunakan lcd, game, aplikasi mobile sudah tentu membawa kelainan kepada suasana pembelajaran di dalam kelas.


SUMBER:  SINI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan